27.9.09

MEDIA NS BERKUNJUNG KE ISTANA BESAR SERI MENANTI


25 September 2009 ; kira-kira 4 petang
- Hari bersejarah buat pengamal media Negeri Sembilan apabila dijemput untuk minum petang bersama Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti. Ini merupakan satu penghormatan buat pengamal media yang bertugas di Negeri Sembilan yang merupakan kunjungan julung kali sejak baginda dimahsyurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Ke-11, Disember lalu.

Tuanku Muhriz bersalaman dengan Bendahari i-Kwan, Muhd Faizal Abas


Wartawan KOSMO!, Rais Yeop Johari bersalaman dengan Tuanku Muhriz sambil diperhatikan rakan media lain.

Turut serta pada majlis minum petang itu adalah permaisuri baginda, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan kedua-dua putera baginda iaitu Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.


Suasana minum petang bersama Tuanku Muhriz



Turut serta pada majlis itu, Ketua Wartawan Sinar Harian, Ahmad Syahrul Derauh bagi mewakili Presiden Kelab Wartawan Negeri Sembilan (i-KWAN), Ainol Amriz Ismail yang tidak dapat hadir, Bendahari i-Kwan, Muhd Faizal Abas dan Presiden Kelab Akhbar Negeri Sembilan (Kelana), Razali Pilus.

Terdahulu, Tunku Ali Redhauddin turut berkenan mengadakan sidang media sempena bulan pertabalan Tuanku Muhriz yang bermula Oktober ini serta istiadat pertabalan pada 26 Oktober ini. Sidang media itu diadakan bagi memberi gambaran jelas kepada pengamal media mengenai istiadat yang bakal berlangsung untuk memudahkan liputan nanti. Maklum sajalah, kali terakhir istiadat pertabalan ini berlangsung adalah pada tahun 1968 dan semestinya kesemua wartawan dan jurugambar tidak mempunyai pengalaman untuk membuat liputan sempena hari bersejarah buat rakyat Negeri Sembilan itu.

Majlis minum petang berlangsung dengan begitu bermakna buat pengamal media memandangkan ia memberi peluang kepada para wartawan dan jurugambar untuk beramah mesra serta berbual dengan lebih dekat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.


Para pengamal media Negeri Sembilan yang hadir bergambar beramai-ramai bersama Tuanku Muhriz serta keluarga.


Semoga dengan kunjungan media itu, akan melicinkan lagi istiadat pertabalan yang akan berlangsung nanti.

DAULAT TUANKU !