17 SEPTEMBER 2009 - Hari ini, pengamal media Negeri Sembilan dijemput khas oleh Ahli Parlimen Rembau, YB Khairy Jamaluddin untuk berbuka puasa bersama-sama beliau di Klana Resort, Seremban. Ini merupakan program julung kali membabitkan beliau dengan media selepas bergelar wakil rakyat pada Mac 2008.
Sebaik saja para pengamal media sampai di Klana Resort petang itu, YB Khairy sempat bertanya kepada media sama ada boleh atau tidak program berbuka itu berlangsung secara 'santai'. Sudah semestinya konsep 'santai' lah yang diharapkan pengamal media kerana secara tidak langsung ia akan memudahkan beliau dan para wartawan bertukar-tukar pandangan.
Turut hadir pada program yang ringkas tetapi meriah itu adalah setiausaha i-Kwan, Ahmad Syahrul Derauh mewakili Presiden, Ainol Amriz yang tidak dapat hadir, serta Presiden Kelab Akhbar Negeri Sembilan (Kelana), Razali Pilus.
YB Khairy menyendukkan nasi kepada Razali Pilus sambil diperhatikan rakan-rakan wartawan lain.
Selepas berbuka, semua pengamal media sempat menunaikan solat Maghrib di surau Klana Resort yang diimamkan sendiri oleh YB Khairy. Selepas solat, program diteruskan lagi dan kali ini para wartawan meminta beliau memberi sedikit ucapan dan sidang media sebagai bahan untuk berita.
Pada ucapannya, YB Khairy mengakui peranan pengamal media amat penting dalam kehidupan seharian ini. Beliau juga menasihatkan wartawan media arus perdana tidak rasa tergugat dengan kehadiran media alternatif menerusi laman blog, sebaliknya terus menyiarkan berita dengan fakta yang tepat. YB Khairy juga tidak menolak kemungkinan akan menjadikan program berbuka puasa dengan media ini sebagai acara tahunan.
YB Khairy menyerahkan buah tangan berupa kuih raya kepada semua pengamal media.
Sebelum bersurai... acara bergambar beramai-ramai.
Pergerakan puteri i-Kwan turut mengambil peluang bergambar bersama YB Khairy.
Semoga kerjasama erat antara pemimpin muda ini dengan pengamal media di Negeri Sembilan akan berterusan pada masa depan.