27.10.09

ISTIADAT PERTABALAN YANG DI-PERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN


Selepas berkampung di Bagan Pinang, kali ini pengamal media NS sekali lagi berkampung, tetapi kali ini di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah bagi menjalankan tanggungjawab yang besar - membuat liputan sempena pertabalan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Sebagai orang yang bertanggungjawab membawa berita sepanjang program pertabalan ke seluruh negara, semua pengamal media NS ternyata menunjukkan satu kerjasama yang baik antara satu sama lain untuk menghasilkan berita yang terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sehari sebelum Istiadat Pertabalan iaitu pada 25 Oktober 2009, pengamal media NS serta beberapa pengamal media dari Kuala Lumpur dan tidak kurang 34 pengamal media luar negara memulakan tugas untuk Istiadat bersiram di Panca Persada, kira-kira 500 meter daripada Istana Besar Seri Menanti

Manakala, 26 Oktober yang merupakan hari kemuncak apabila Istiadat Pertabalan berlangsung dengan penuh adat istiadat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti. Namun begitu, disebabkan tempat yang terhad selain faktor keselamatan, hanya media rasmi saja yang dibenarkan untuk membuat liputan di dalam Balairong Seri, manakala sebahagian besar pengamal media membuat liputan dari Pusat Media yang disediakan di dalam Istana tersebut yang turut dilengkapi kemudahan komputer serta skrin TV sepanjang istiadat berlangsung.

I-Kwan mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Penerangan kerana menyediakan pusat media ini, bagaimanapun, secara peribadi pusat media tersebut terlalu banyak kekurangan kerana bukan saja bilangan komputer yang agak terhad, tetapi kemudahan plug untuk wartawan menggunakan komputer riba sendiri pun tidak ada.

Disulitkan lagi dengan kerusi yang tidak mencukupi menyebabkan beberapa pengamal media terpaksa duduk di atas lantai yang agak kurang kebersihan, selain tempat yang agak kecil menyebabkan mereka terpaksa berhimpit-himpit. Begitu juga kelemahan petugas pusat media menyalurkan maklumat yang dikehendaki menyebabkan beberapa wartawan asing pulang dengan rasa hampa.

Bagaimanapun, semuanya sudah berlalu dan i-Kwan berharap perkara ini tidak akan berulang pada masa depan memandangkan ini merupakan program besar yang menjadi tumpuan dunia dan jarang-jarang majlis seumpama ini boleh dinikmati bersama.

Untuk pengamal media yang telah berkerja keras dan bertungkus-lumus membuat liputan, i-Kwan menghadiahkan kepada anda paparan sepanjang Istiadat Bersiram dan Pertabalan pada 25 dan 26 Oktober lalu.


Wartawan Utusan Malaysia, Farabi Said Al-Jabri dan Aboi (jurukamera RTM) ketika membuat liputan Istiadat Bersiram pada 25 Oktober lalu.


Wartawan RTM, Badrul Hafizan (kiri) dan Farabi sabar menunggu sepanjang Istiadat Bersiram berlangsung.


Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar NS, Mokhtar Alias (kanan) yang kini berkhidmat di Istana Besar Seri Menanti memberi penerangan mengenai perjalanan Istiadat Bersiram kepada sebahagian pengamal media NS yang hadir. Dari kiri: Mei (Nanyang Siang Pau) Tuty (Berita Harian) dan Jamliah (Utusan Malaysia).


Istiadat Pertabalan pada 26 Oktober. Seawal 7 pagi lagi, rakan-rakan i-Kwan segak bergaya untuk memulakan tugas di Istana Besar Seri Menanti. Dari kiri: Ahmad Syahrul (Sinar Harian - Setiausaha i-Kwan), Zubir Jamal (RTM), Rais Yeop Johari (KOSMO !), Badrul Hafizan (RTM), Aboi (RTM), Ainol Amriz (Utusan Malaysia - Presiden i-Kwan) dan Nadzarul Amir (KOSMO !).


Ainol sempat membelek naskah sisipan Utusan Malaysia yang menyiarkan laporan penuh rencana sempena pertabalan Yang Dipertuan Besar sambil diperhatikan rakan media lain.


Presiden dan Setiausaha i-Kwan melihat naskah sisipan Utusan Malaysia sebelum memulakan tugas untuk Istiadat Pertabalan.


Sebelum memulakan tugas, semua pengamal media menikmati sarapan pagi yang disediakan di kawasan Istana Besar Seri Menanti.


Sisipan Berita Harian mengenai pertabalan turut menarik minat Darshini (NST), Chitra Nathan (The Star) dan Sarban Singh (The Star) semasa menikmati sarapan pagi yang disediakan di kawasan Istana Besar Seri Menanti.


Keadaan di bilik media. Masing-masing tiada masa untuk bergurau atau bersembang, sebaliknya terus menumpukan kepada kerja masing-masing memandangkan ada sebahagian media yang memerlukan laporan secara on-line.


Nadzarul Amir (berdiri) terpaksa menunggu giliran menggunakan komputer disebabkan kekurangan kemudahan. Manakala Ainol dan Abd Razak terpaksa menggunakan komputer riba sendiri.


Pengamal media menyaksikan Istiadat Pertabalan yang disiarkan di skrin yang dipancarkan ke dinding. Tempat terhad menyebabkan ada antara mereka terpaksa bersila di lantai...


Wartawan NST, Heidi Foo ketika ditemuramah wakil media daripada Thailand yang membuat laporan khas sepanjang istiadat berkenaan.


Darshini (NST) turut ditemuramah wakil media dari Thailand.

Istiadat pada 26 Oktober berakhir kira-kira 12.30 tengahari. Walaupun dalam keadaan yang 'kurang sempurna' namun semangat dan dedikasi pengamal media NS menyaksikan Istiadat berkenaan mendapat liputan menyeluruh daripada media-media tempatan. Syabas wartawan-wartawan, jurufoto-jurufoto dan jurukamera TV yang terlibat.

DAULAT TUANKU !

SALAM DARI BAGAN PINANG (Part III)

Sebahagian lagi yang sempat dirakamkan lensa ikwanonline...

Presiden i-Kwan, Ainol Amriz Ismail (kanan sekali) selaku Ketua Biro Utusan Malaysia menemuramah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika membuat lawatan di sebuah taman perumahan dekat Port Dickson. Turut serta, Ketua Biro The Star, Sarban Singh (terlindung di belakang)

Wartawan NST, Darshini Balan bertanyakan sesuatu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam satu program di Ladang Bradwall, Siliau.


Jurufoto The Star, Low Boon Tat sempat ber'SMS' semasa menunggu keputusan pilihan raya kecil di Dewan MPPD. Di hadapannya adalah jurufoto Bernama, Hamzah Md Som.


Ketua Biro Bernama, Shahrullizan Rusli sempat menyelit di belakang VVIP pada sidang media selepas pengumuman pilihan raya kecil itu.


Rakaman spontan: Patrick Sennyah bersama rakan-rakan media dari KL serta Setiausaha Akhbar kepada TPM gembira ketika menghadiri satu majlis di Taman Politeknik PD.

Begitulah serba sedikit secara ringkas pengalaman wartawan NS pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang tersebut. Ternyata, walaupun agak meletihkan, tetapi pengalaman tersebut tetap akan menjadi diari bagi pengamal media di NS.

Salam Dari Bagan Pinang... dan berjumpa lagi..

20.10.09

SALAM DARI BAGAN PINANG (Part II)


Ramai yang bertanya, bila ikwanonline akan memaparkan gambar kenangan rakan-rakan media yang bertugas pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang lalu. Walaupun agak penat seminggu berkampung di Bagan Pinang, nampaknya pengalaman bertugas di sana memang sukar nak dilupakan. Orait... teristimewa dari ikwanonline, kami paparkan bahagian kedua SALAM DARI BAGAN PINANG... Cerita tak banyak, gambar saja..

Hari penamaan calon (3 Oktober 2009 )

Pagi lagi, Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sesak dengan orang ramai.


Jurufoto Utusan Malaysia, Shahjehan tanpa mempedulikan alam sekitar, tekun mengambil shot-shot menarik.

Nasir (Ntv7) dan Heidi Foo (NST) sempat berbual bersama bekas ADUN Chuah


Dua orang Ketua Biro yang dedikasi. Sarban Singh (The Star) dan Patrick Sennyah (NST) turut berkampung di Bagan Pinang.


Apa yang dibincangkan ni? Dari kiri Sarban Singh (The Star) Razali Pilus (Bernama) Patrick (NST) dan Ziauddin (Berita Harian) tekun mendengar amanat Setiausaha Akhbar kepada Timbalan Perdana Menteri.


Rais Yeop Johari (KOSMO !) sempat terjah YB Khairy Jamaluddin.


Nasir Ntv7 (Kiri sekali) sedang merakamkan detik bersejarah pengumuman nama calon.


Lebih kurang 12.30 tengahari - Penamaan calon selesai. Sesi pertama selesai dan wartawan mula pulang ke tempat penginapan masing-masing. Bukan bermakna tugas sudah selesai, tetapi baru nak bermula... sampai hari pengundian nanti...

Nak tengok cerita seterusnya ? Tunggu Salam Dari Bagan Pinang (Part III)...

10.10.09

SALAM DARI BAGAN PINANG (Part I)


Lintas langsung dari Bagan Pinang...



Sejak 3 Oktober lalu, boleh dikatakan hampir kesemua wartawan dan jurugambar Negeri Sembilan berkampung di Bagan Pinang, Port Dickson untuk melaksanakan satu lagi tanggungjawab besar iaitu melaporkan Pilihan Raya Kecil di sana. Sambil dibantu wartawan dan jurugambar dari luar Negeri Sembilan khususnya ibu negara, seluruh rakyat Malaysia sudah tentu dapat mengikuti perkembangan pilihan raya itu yang bakal berlangsung 11 Oktober ini.

Walaupun banyak cerita yang boleh dikongsi bersama, namun disebabkan kesibukan bekerja siang malam, kami tidak dapat memaparkan dalam laman ikwanonline ini. Bagaimanapun, kita akan cuba paparkan dalam masa terdekat ini sebaik saja selesai hari pengundian nanti.

Salam dari kami di Bagan Pinang...