27.9.09

MEDIA NS BERKUNJUNG KE ISTANA BESAR SERI MENANTI


25 September 2009 ; kira-kira 4 petang
- Hari bersejarah buat pengamal media Negeri Sembilan apabila dijemput untuk minum petang bersama Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti. Ini merupakan satu penghormatan buat pengamal media yang bertugas di Negeri Sembilan yang merupakan kunjungan julung kali sejak baginda dimahsyurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Ke-11, Disember lalu.

Tuanku Muhriz bersalaman dengan Bendahari i-Kwan, Muhd Faizal Abas


Wartawan KOSMO!, Rais Yeop Johari bersalaman dengan Tuanku Muhriz sambil diperhatikan rakan media lain.

Turut serta pada majlis minum petang itu adalah permaisuri baginda, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan kedua-dua putera baginda iaitu Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.


Suasana minum petang bersama Tuanku Muhriz



Turut serta pada majlis itu, Ketua Wartawan Sinar Harian, Ahmad Syahrul Derauh bagi mewakili Presiden Kelab Wartawan Negeri Sembilan (i-KWAN), Ainol Amriz Ismail yang tidak dapat hadir, Bendahari i-Kwan, Muhd Faizal Abas dan Presiden Kelab Akhbar Negeri Sembilan (Kelana), Razali Pilus.

Terdahulu, Tunku Ali Redhauddin turut berkenan mengadakan sidang media sempena bulan pertabalan Tuanku Muhriz yang bermula Oktober ini serta istiadat pertabalan pada 26 Oktober ini. Sidang media itu diadakan bagi memberi gambaran jelas kepada pengamal media mengenai istiadat yang bakal berlangsung untuk memudahkan liputan nanti. Maklum sajalah, kali terakhir istiadat pertabalan ini berlangsung adalah pada tahun 1968 dan semestinya kesemua wartawan dan jurugambar tidak mempunyai pengalaman untuk membuat liputan sempena hari bersejarah buat rakyat Negeri Sembilan itu.

Majlis minum petang berlangsung dengan begitu bermakna buat pengamal media memandangkan ia memberi peluang kepada para wartawan dan jurugambar untuk beramah mesra serta berbual dengan lebih dekat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.


Para pengamal media Negeri Sembilan yang hadir bergambar beramai-ramai bersama Tuanku Muhriz serta keluarga.


Semoga dengan kunjungan media itu, akan melicinkan lagi istiadat pertabalan yang akan berlangsung nanti.

DAULAT TUANKU !


19.9.09

PERUTUSAN AIDILFITRI PRESIDEN i-KWAN


Assalamualaikum WBT,




Salam Ramadan dan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal mendatang pada 1 Syawal ini kepada semua ahli yang beragama Islam dan salam hormat dan setia kawan kepada rakan-rakan.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar…

Setinggi-setinggi kesyukuran dihulurkan kepada yang maha esa kerana dengan limpah kurniaNya masih memberi peluang kepada kita pada tahun ini untuk sekali lagi meraikan hari kemenangan yang sentiasa kita raikan setelah sebulan kita menempuh dan menunaikan perintah dariNya di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan kemuliaan.

Selawat serta salam kepada junjugan besar Nabi Muhammad s.a.w kerana dengan pengorbanan dan perjuangan bagindalah kita sebagai umat Islam, masih lagi dapat merasa dua nikmat kurniaan Ilahi yang akan memandu kita ke pintu syurga Allah taala, iaitu iman dan Islam. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :``Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. - Al-Imran : 102''

Alhamdullillah, Hari Raya Aidilfitri ini merupakan hari kemenangan dan kegembiraan bagi umat Islam di seluruh pelusuk dunia, Hari yang dikurniakan Allah taala untuk meraikan kejayaan kita setelah sebulan menunaikan perintahNya dengan menahan lapar dan dahaga di bulan Ramadhan demi membuktikan akan keimanan dan kemampuan kita melaksanakan perintahNya. Sehubungan itu kepada rakan-rakan wartawan, jurufoto dan jurukamera sekalian, jadikanlah hari yang penuh kemuliaan ini untuk kita bersama-sama meraikannya dalam suasana penuh keinsafan.

Pada masa yang sama juga kita kembali melahirkan rasa akrab dan setiakawan yang jitu di kalangan seluruh pengamal media di Negeri Sembilan Darul Khusus ini. Buangkanlah sengketa dan perasaan hasad, dengki dan memecah belah perpaduan kita. Semoga diri saya sendiri juga melalui perubahan ini dan bersama-sama memohon keampunan dan kemaafan di atas segala kesilapan dan kealpaan dalam melonjakkan kelab ini di persada yang ada pada hari ini.

Rakan-rakan sekalian,
Disamping kita bergembira di hari kemenangan ini, perlulah kita ingat akan sahabat-sahabat kita yang tidak semampu dengan kita dan yang telah kembali ke rahmatullah. Mereka yang telah kehilangan keluarga, mereka yang kehilangan ayah, mereka yang kehilangan ibu, mereka yang kehilangan adik beradik, mereka meraikan hari yang sepatutnya menjadi hari kegembiraan bertukar menjadi hari yang penuh dengan kepiluan. Jadi bersama-samalah kita menghadiahkan `Al Fatihah' kepada roh-roh kaum keluarga kita yang telah mendahului kita bertemu Allah SWT.

Rakan-rakan yang dimuliakan,
Di samping kegembiraan kita ini janganlah kita leka dan abaikan golongan yang memerlukan bantuan kita serta yang berhajat kepada pertolongan kita. Mereka juga inginkan kehidupan yang sempurna seperti kita lalui sekarang, bantulah mereka dengan sedaya upaya kita sama ada melalui tulisan, visual, gambar dan sebagainya untuk disiarkan dalam media masing-masing. Janganlah kita terlalu leka dengan kegembiraan yang diraikan ini.

Semoga ia menjadi satu muhasabah kepada diri kita yang selalu lalai dan leka dari mengsyukuri nikmat kurniaanNya. Pandulah berhati-hati ke destinasi yang hendak dituju dan saya mendoakan semua ahli i-KWAN dapat kembali bertugas dengan keadaan sihat walafiat dan penuh keceriaan, lebih-lebih lagi untuk tugasan mencabar pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang yang akan datang serta Hari Pertabalan Kebawah DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 26 Oktober ini. Akhirnya, di kesempatan yang ada ini saya mewakili jawatankuasa i-KWAN dan ahli keluarga kami, ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 2009 dan Maaf, Zahir dan Batin. Wassalam.


AINOL AMRIZ ISMAIL
Presiden

17.9.09

BERBUKA PUASA BERSAMA KJ


17 SEPTEMBER 2009 - Hari ini, pengamal media Negeri Sembilan dijemput khas oleh Ahli Parlimen Rembau, YB Khairy Jamaluddin untuk berbuka puasa bersama-sama beliau di Klana Resort, Seremban. Ini merupakan program julung kali membabitkan beliau dengan media selepas bergelar wakil rakyat pada Mac 2008.

Sebaik saja para pengamal media sampai di Klana Resort petang itu, YB Khairy sempat bertanya kepada media sama ada boleh atau tidak program berbuka itu berlangsung secara 'santai'. Sudah semestinya konsep 'santai' lah yang diharapkan pengamal media kerana secara tidak langsung ia akan memudahkan beliau dan para wartawan bertukar-tukar pandangan.

Turut hadir pada program yang ringkas tetapi meriah itu adalah setiausaha i-Kwan, Ahmad Syahrul Derauh mewakili Presiden, Ainol Amriz yang tidak dapat hadir, serta Presiden Kelab Akhbar Negeri Sembilan (Kelana), Razali Pilus.



YB Khairy menyendukkan nasi kepada Razali Pilus sambil diperhatikan rakan-rakan wartawan lain.



Selepas berbuka, semua pengamal media sempat menunaikan solat Maghrib di surau Klana Resort yang diimamkan sendiri oleh YB Khairy. Selepas solat, program diteruskan lagi dan kali ini para wartawan meminta beliau memberi sedikit ucapan dan sidang media sebagai bahan untuk berita.

Pada ucapannya, YB Khairy mengakui peranan pengamal media amat penting dalam kehidupan seharian ini. Beliau juga menasihatkan wartawan media arus perdana tidak rasa tergugat dengan kehadiran media alternatif menerusi laman blog, sebaliknya terus menyiarkan berita dengan fakta yang tepat. YB Khairy juga tidak menolak kemungkinan akan menjadikan program berbuka puasa dengan media ini sebagai acara tahunan.


YB Khairy menyerahkan buah tangan berupa kuih raya kepada semua pengamal media.

Sebelum bersurai... acara bergambar beramai-ramai.



Pergerakan puteri i-Kwan turut mengambil peluang bergambar bersama YB Khairy.


Semoga kerjasama erat antara pemimpin muda ini dengan pengamal media di Negeri Sembilan akan berterusan pada masa depan.

11.9.09

BERBUKA PUASA DI KEDIAMAN MENTERI BESAR


Seperti kebiasaan setiap tahun, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin tidak pernah ketinggalan menjemput wartawan dan jurugambar di Negeri Sembilan untuk berbuka puasa bersama-sama di kediaman rasmi beliau. Biasanya jemputan akan disekalikan dengan Biro Tata Negara (BTN) Negeri Sembilan. Pada tahun ini, majlis berbuka puasa bersama media dimeriahkan lagi dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan.

Ahmad Maslan bersama Menteri Besar sempat bertanyakan sesuatu dengan Presiden i-Kwan, Ainol Amriz Ismail sambil diperhatikan rakan media yang lain.

Mohamad Hasan dan Ahmad Maslan sempat meluangkan masa beramah mesra dengan pengamal media yang hadir. Kanan sekali, Setiausaha i-Kwan, Ahmad Syahrul Derauh.

Selepas berbuka puasa, program diteruskan dengan solat maghrib berjemaah, sebelum solat Isyak dan Terawih bersama-sama.


1.9.09

PROGRAM AMAL ROYALE BINTANG & i-KWAN SEMPENA RAMADAN


1 September 2009
- Buat pertama kali, Royale Bintang Resort & Spa Seremban berkerjasama dengan i-Kwan untuk program Majlis Berbuka Puasa melibatkan golongan daif di sekitar Seremban. Idea mewujudkan program ini adalah hasrat bersama Royale Bintang dan i-Kwan beberapa hari sebelum bulan puasa bermula iaitu mahu membawa mereka yang kurang berkemampuan untuk menikmati pengalaman berbuka puasa di hotel.



Menerusi pengalaman membuat liputan golongan daif serta kerjasama ketua-ketua kampung di beberapa kawasan sekitar Seremban, akhirnya i-Kwan berjaya menemui 29 insan yang bertuah yang terdiri daripada keluarga daif, anak yatim dan ibu tunggal untuk bersama-sama pengurusan Royale Bintang dan i-Kwan menikmati hidangan berbuka puasa di Royale Bintang Seremban.

Ternyata, program yang sederhana ini memberi makna yang besar buat mereka. Dari raut wajah, ternyata mereka gembira apabila diberi peluang menikmati hidangan di hotel yang mungkin ini mereka tidak pernah mengalaminya sebelum ini.




Antara insan yang diberi peluang bersama-sama berbuka puasa dengan pengurusan Royale Bintang dan i-Kwan.

Selepas majlis berbuka puasa itu, Pengurus Royale Bintang, Mashor Din dan Presiden i-Kwan, Ainol Amriz Ismail turut menyampaikan 'duit raya' kepada kanak-kanak yang turut serta pada majlis berkenaan.


Pengurus Royale Bintang Seremban, Mashor Din menyerahkan 'duit raya' kepada kanak-kanak sambil diperhatikan Presiden i-Kwan, Ainol Amriz Ismail di belakang.


Keceriaan jelas terpancar di wajah kanak-kanak berkenaan.


Antara ahli i-Kwan yang turut sama memeriahkan majlis berbuka puasa (dari kiri: Baya Sinar Harian, Lin RTM & suami dan Izan Tv3)


Rahman (RTM) dan rakan sekerjanya, Rosmarie yang juga boss berita RTM dan ahli baru i-Kwan.


Badrul Hafizan (RTM) sedang leka memerhatikan Abd Razak Aid (Kosmo !) menikmati ABC Special.

Di kesempatan ini, i-Kwan mengucapkan terima kasih kepada Pengurus Royale Bintang Seremban, Mashor Din dan Penolong Pengarah Jualan Royale Bintang Seremban, Zalifah Azura kerana memberi kepercayaan kepada i-Kwan untuk bersama-sama menganjurkan majlis amal ini. Semoga kerjasama erat ini akan berterusan dengan pelbagai lagi program secara usahasama dilaksanakan.