5.5.09

KELAB WARTAWAN MUDA : SEHARI SEBELUM PELANCARAN


5 Mei 2009 - Hari yang mungkin tidak dilupakan buat 11 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Muhammad (TMS), Kuala Pilah apabila mereka dilantik sebagai perintis bagi Kelab Wartawan Muda (KWM) sekolah berkenaan. KWM merupakan idea i-Kwan untuk melahirkan pelapis dalam bidang wartawan di masa depan, khususnya di Negeri Sembilan.


SMK Tuanku Muhammad, Kuala Pilah merupakan sekolah pertama yang diberi penghargaan untuk melancarkan Kelab Wartawan Muda - i-Kwan

Hari ini, team i-Kwan turun ke sekolah berkenaan bagi membuat persediaan untuk Majlis Pelancaran KWM Peringkat Parlimen Kuala Pilah pada keesokannya yang dirasmikan Ahli Parlimennya, Datuk Hassan Malek yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah. Datuk Hassan Malek juga merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan dan turut menjadi Presiden Persatuan Bekas Pelajar SMK Tunku Muhammad atau dikenali sebagai TMNS Old Boys.


Presiden i-Kwan, Ainol Amriz (dua, kiri) dan Abd Rahman Ibrahim - RTM (kiri) memberi penerangan kepada 11 pelajar yang terlibat dalam majlis pelancaran nanti.

Pada hari ini, kesemua 11 wartawan muda itu berpeluang menunjukkan bakat sebagai seorang wartawan dan kegiatan mereka dirakamkan menerusi jurukamera RTM, Abdul Rahman Ibrahim serta pengarah bersama Ainol Amriz Ismail dan Muhd Faizal Abas (TV3). Ternyata, pelajar terbabit bukan saja menunjukkan minat yang tinggi, malah mempunyai bakat yang boleh dibentuk lagi.

Penggambaran dibuat di dua lokasi iaitu luar bangunan sekolah dan di dalam pusat sumber sebagai bilik berita.



Muhd Faizal Abas (kanan) selaku pengarah rakaman video sedang memberi taklimat kepada pelajar sebelum penggambaran dimulakan.


Penggambaran bermula: Abd Rahman Ibrahim sedang merakam salah seorang pelajar yang terlibat.


Bukan senang nak jadi pengacara berita. Bukan saja terpaksa berpanas terik, tetapi perlu lancar dalam memberi laporan. Kelihatan rakan-rakan sedang membantu memegang skrip yang dipaparkan pada manila kad.


Di kesempatan ini, i-Kwan mengucapkan terima kasih kepada Pengetua Kanan SMK Tunku Muhammad, Cikgu Mustaffa Mohamed yang bergitu menyambut baik program yang diilhamkan i-Kwan ini. Kita percaya, sokongan padu daripada pihak sekolah akan membantu untuk memartabatkan bidang media kepada generasi akan datang.