6.5.09

KELAB WARTAWAN MUDA DILANCAR


6 Mei 2009 - Cadangan untuk menubuhkan Kelab Wartawan Muda (KWM) di Negeri Sembilan pada tahun ini akhirnya menjadi kenyataan. Kuala Pilah dipilih sebagai Parlimen pertama di negeri ini untuk tujuan program berkenaan. Sebagai menghormati kecemerlangan SMK Tuanku Muhammad, Kuala Pilah, sekolah yang telah ditubuhkan pada 1930 itu dipilih sebagai sekolah sulung projek berkenaan.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah turut sudi merasmikan majlis pelancaran yang ringkas tetapi begitu meriah.


Datuk Hassan Malek tiba di dewan SMK Tuanku Muhammad kira-kira 10 pagi sambil diiringi Pengetua Kanan, Mustaffa Mohamed.


Kehadiran Datuk Hassan Malek ke sekolah berkenaan turut mengimbas kenangan terhadap dirinya kerana beliau merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan dan kini menjadi Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar Tua SMK Tuanku Muhammad (TM Old Boys)


Presiden i-Kwan, Ainol Amriz Ismail sempat membincangkan sesuatu dengan Datuk Hassan Malek ketika di atas pentas.


Pada ucapan perasmian, Datuk Hassan Malek mengucapkan syabas kepada i-Kwan kerana berjaya membawa satu mekanisme terbaik mendekatkan pelajar dengan bidang wartawan. Lebih membanggakan, penubuhan kelab seumpama ini merupakan yang pertama diwujudkan di Malaysia. Beliau berharap, dengan adanya KWM ini, Negeri Sembilan bakal melahirkan golongan wartawan hebat dan terkenal pada masa depan.


Dewan SMK Tuanku Muhammad penuh sesak dengan tetamu dan pelajar ketika majlis pelancaran.


Bacaan doa memohon keberkatan majlis

Presiden i-Kwan, Ainol Amriz Ismail dalam ucapannya berkata, pelbagai program bakal disusun i-Kwan untuk menjalankan aktiviti KWM ini termasuk program lawatan dan latihan amali di setiap bilik berita pelbagai agensi di Negeri Sembilan. Beliau juga yakin, KWM akan diteruskan untuk Parlimen lain pada masa depan supaya setiap Parlimen di Negeri Sembilan mempunyai KWM sendiri.


Ainol Amriz bersemangat ketika menyampaikan ucapan pengenalan

Sebagai gimik pelancaran, tetamu terpegun dengan klip video yang dihasilkan melibatkan lakonan ahli KWM yang sedang melaporkan berita yang dihasilkan Abdul Rahman Ibrahim (RTM). Malah, Datuk Hassan Malek sendiri memuji hasilnya. Tahniah KWM !


Datuk Hassan Malek memakaikan topi kepada kesemua 11 perintis KWM sebagai simbolik pelantikan


Datuk Hassan Malek sempat berbual dengan kesemua perintis KWM selepas majlis pelancaran


Sidang media diadakan di Pusat Sumber sekolah sejurus selepas selesai majlis pelancaran

Selesai saja majlis pelancaran, Saudara Sulaiman Salleh (bekas wartawan Harian Metro) yang kini bertugas sebagai pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) memulakan siri ceramah mengenai asas dunia kewartawanan.

Manakala, siri ceramah kedua pula diteruskan dengan ceramah Ainol Amriz Ismail mengenai cabaran dunia wartawan. Paling menarik, Ainol Amriz berkongsi pengalaman ketika membuat liputan di Lubnan mengenai kesengsaraan rakyat Palestin dengan menampilkan tayangan video ketika beliau di sana.


Sulaiman (kiri) sedang menguji pendapat salah seorang ahli perintis KWM.


Pengalaman Ainol Amriz menghadapi saat genting ketika membuat laporan khas di Lubnan berjaya menarik minat tetamu yang hadir

Adalah diharapkan, kejayaan menganjurkan program KWM pertama ini akan berterusan untuk beberapa lagi program yang sama membabitkan setiap Parlimen di Negeri Sembilan. Tujuannya adalah satu, untuk berkongsi ilmu pengetahuan kepada generasi muda selain salah satu aktiviti kemasyarakatan i-Kwan terhadap kesedaran tanggungjawab mendidik generasi muda terhadap bidang komunikasi agar tidak terpengaruh dengan berita yang tidak berasas.

SYABAS i-KWAN, SYABAS KWM...