Negeri Sembilan bakal melahirkan golongan pelapis berbakat dalam bidang kewartawanan apabila buat julung kalinya 'Kelab Wartawan Muda' membabitkan pelajar sekolah menengah akan dilancarkan ke seluruh negeri itu.
Program anjuran Kelab Wartawan Negeri Sembilan (i-Kwan) itu merupakan langkah untuk mendedahkan golongan pelajar dengan asas kewartawanan beretika, sekaligus memberi kemahiran untuk berkomunikasi serta pengetahuan luas sebagai salah satu kerjaya pada masa depan.
Buat permulaan, Sekolah Menengah (SM) Tuanku Muhammad, di sini menjadi sekolah perintis program berkenaan mewakili Parlimen Kuala Pilah menerusi kerjasama Persatuan Bekas Pelajar (TM Old boys) sekolah terbabit yang turut dibantu Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
Majlis pelancaran dijadual akan dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah dan Presiden TM Old boys.
Presiden i-Kwan, Ainol Amriz Ismail berkata, Kelab Wartawan Muda merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan i-Kwan untuk mencari pelapis dalam bidang kewartawanan di negara ini yang menjadi salah satu profesion yang secara langsung berkait dengan pembangunan negara.
“Menyedari betapa pentingnya barisan pelapis ini, i-Kwan rasa bertanggungjawab untuk memain peranan dengan memulakan fahaman bidang tersebut kepada pelajar di peringkat sekolah lagi. Lebih-lebih lagi, Negeri Sembilan sebenarnya banyak melahirkan golongan wartawan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata, menerusi penubuhan Kelab Wartawan Muda ini, sekaligus memberi kefahaman kepada golongan pelajar mengenai kewartawanan memandangkan generasi masa depan lebih terdedah kepada media tidak formal seperti laman blog.
“Sekurang-kurangnya, kita akan melatih pelajar agar percaya kepada fakta dan menolak berita khabar angin. Ini yang akan diterapkan pada kelab ini nanti,” katanya.