20.5.09

PERLAWANAN PERSAHABATAN FUTSAL POLIS TRAFIK - i-KWAN


19 Mei 2009 - Bertempat di Hazlan Indoor Soccer, buat pertama kali Pasukan Futsal i-Kwan mengadakan perlawanan persahabatan sulung menentang pasukan polis trafik daripada Cawangan Trafik Kontijen Negeri Sembilan.


Pengurus team futsal i-Kwan, Rais Yeop Johari bertukar cenderamata dengan pengurus team polis trafik, Abd Halil Hamzah sebelum memulakan pertarungan.


Team Polis (jersi jingga) bergambar dengan team i-Kwan (jersi merah dan biru) sebelum perlawanan bermula.


Pertandingan menyaksikan persembahan menarik kedua-dua pasukan, bagaimanapun ia memihak kepada pasukan polis trafik A menewaskan pasukan i-Kwan B dengan keputusan 5-1.

Manakala bagi merebut tempat ketiga dan keempat, pasukan i-Kwan A pula berjaya mengalahkan polis Team B dengan keputusan menerusi tendangan penalti selepas kedua-dua terikat 4-4.

Terima kasih buat Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd Halil Hamzah selaku pengurus pasukan polis yang begitu sporting. Menurutnya, pertandingan itu bukanlah semata-mata untuk mengejar kemenangan, sebaliknya sebagai platform merapatkan hubungan antara pengamal media dan anggota polis trafik di negeri ini yang sentiasa bekerjasama.

Hadiah untuk pemenang berupa medal disampaikan Presiden i-Kwan, Ainol Amriz Ismail.
Bagi mereka yang berminat untuk bertarung dengan team futsal i-Kwan, boleh menghubungi setiausaha di talian 012-2382285.

6.5.09

KELAB WARTAWAN MUDA DILANCAR


6 Mei 2009 - Cadangan untuk menubuhkan Kelab Wartawan Muda (KWM) di Negeri Sembilan pada tahun ini akhirnya menjadi kenyataan. Kuala Pilah dipilih sebagai Parlimen pertama di negeri ini untuk tujuan program berkenaan. Sebagai menghormati kecemerlangan SMK Tuanku Muhammad, Kuala Pilah, sekolah yang telah ditubuhkan pada 1930 itu dipilih sebagai sekolah sulung projek berkenaan.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah turut sudi merasmikan majlis pelancaran yang ringkas tetapi begitu meriah.


Datuk Hassan Malek tiba di dewan SMK Tuanku Muhammad kira-kira 10 pagi sambil diiringi Pengetua Kanan, Mustaffa Mohamed.


Kehadiran Datuk Hassan Malek ke sekolah berkenaan turut mengimbas kenangan terhadap dirinya kerana beliau merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan dan kini menjadi Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar Tua SMK Tuanku Muhammad (TM Old Boys)


Presiden i-Kwan, Ainol Amriz Ismail sempat membincangkan sesuatu dengan Datuk Hassan Malek ketika di atas pentas.


Pada ucapan perasmian, Datuk Hassan Malek mengucapkan syabas kepada i-Kwan kerana berjaya membawa satu mekanisme terbaik mendekatkan pelajar dengan bidang wartawan. Lebih membanggakan, penubuhan kelab seumpama ini merupakan yang pertama diwujudkan di Malaysia. Beliau berharap, dengan adanya KWM ini, Negeri Sembilan bakal melahirkan golongan wartawan hebat dan terkenal pada masa depan.


Dewan SMK Tuanku Muhammad penuh sesak dengan tetamu dan pelajar ketika majlis pelancaran.


Bacaan doa memohon keberkatan majlis

Presiden i-Kwan, Ainol Amriz Ismail dalam ucapannya berkata, pelbagai program bakal disusun i-Kwan untuk menjalankan aktiviti KWM ini termasuk program lawatan dan latihan amali di setiap bilik berita pelbagai agensi di Negeri Sembilan. Beliau juga yakin, KWM akan diteruskan untuk Parlimen lain pada masa depan supaya setiap Parlimen di Negeri Sembilan mempunyai KWM sendiri.


Ainol Amriz bersemangat ketika menyampaikan ucapan pengenalan

Sebagai gimik pelancaran, tetamu terpegun dengan klip video yang dihasilkan melibatkan lakonan ahli KWM yang sedang melaporkan berita yang dihasilkan Abdul Rahman Ibrahim (RTM). Malah, Datuk Hassan Malek sendiri memuji hasilnya. Tahniah KWM !


Datuk Hassan Malek memakaikan topi kepada kesemua 11 perintis KWM sebagai simbolik pelantikan


Datuk Hassan Malek sempat berbual dengan kesemua perintis KWM selepas majlis pelancaran


Sidang media diadakan di Pusat Sumber sekolah sejurus selepas selesai majlis pelancaran

Selesai saja majlis pelancaran, Saudara Sulaiman Salleh (bekas wartawan Harian Metro) yang kini bertugas sebagai pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) memulakan siri ceramah mengenai asas dunia kewartawanan.

Manakala, siri ceramah kedua pula diteruskan dengan ceramah Ainol Amriz Ismail mengenai cabaran dunia wartawan. Paling menarik, Ainol Amriz berkongsi pengalaman ketika membuat liputan di Lubnan mengenai kesengsaraan rakyat Palestin dengan menampilkan tayangan video ketika beliau di sana.


Sulaiman (kiri) sedang menguji pendapat salah seorang ahli perintis KWM.


Pengalaman Ainol Amriz menghadapi saat genting ketika membuat laporan khas di Lubnan berjaya menarik minat tetamu yang hadir

Adalah diharapkan, kejayaan menganjurkan program KWM pertama ini akan berterusan untuk beberapa lagi program yang sama membabitkan setiap Parlimen di Negeri Sembilan. Tujuannya adalah satu, untuk berkongsi ilmu pengetahuan kepada generasi muda selain salah satu aktiviti kemasyarakatan i-Kwan terhadap kesedaran tanggungjawab mendidik generasi muda terhadap bidang komunikasi agar tidak terpengaruh dengan berita yang tidak berasas.

SYABAS i-KWAN, SYABAS KWM...


5.5.09

KELAB WARTAWAN MUDA : SEHARI SEBELUM PELANCARAN


5 Mei 2009 - Hari yang mungkin tidak dilupakan buat 11 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Muhammad (TMS), Kuala Pilah apabila mereka dilantik sebagai perintis bagi Kelab Wartawan Muda (KWM) sekolah berkenaan. KWM merupakan idea i-Kwan untuk melahirkan pelapis dalam bidang wartawan di masa depan, khususnya di Negeri Sembilan.


SMK Tuanku Muhammad, Kuala Pilah merupakan sekolah pertama yang diberi penghargaan untuk melancarkan Kelab Wartawan Muda - i-Kwan

Hari ini, team i-Kwan turun ke sekolah berkenaan bagi membuat persediaan untuk Majlis Pelancaran KWM Peringkat Parlimen Kuala Pilah pada keesokannya yang dirasmikan Ahli Parlimennya, Datuk Hassan Malek yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah. Datuk Hassan Malek juga merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan dan turut menjadi Presiden Persatuan Bekas Pelajar SMK Tunku Muhammad atau dikenali sebagai TMNS Old Boys.


Presiden i-Kwan, Ainol Amriz (dua, kiri) dan Abd Rahman Ibrahim - RTM (kiri) memberi penerangan kepada 11 pelajar yang terlibat dalam majlis pelancaran nanti.

Pada hari ini, kesemua 11 wartawan muda itu berpeluang menunjukkan bakat sebagai seorang wartawan dan kegiatan mereka dirakamkan menerusi jurukamera RTM, Abdul Rahman Ibrahim serta pengarah bersama Ainol Amriz Ismail dan Muhd Faizal Abas (TV3). Ternyata, pelajar terbabit bukan saja menunjukkan minat yang tinggi, malah mempunyai bakat yang boleh dibentuk lagi.

Penggambaran dibuat di dua lokasi iaitu luar bangunan sekolah dan di dalam pusat sumber sebagai bilik berita.



Muhd Faizal Abas (kanan) selaku pengarah rakaman video sedang memberi taklimat kepada pelajar sebelum penggambaran dimulakan.


Penggambaran bermula: Abd Rahman Ibrahim sedang merakam salah seorang pelajar yang terlibat.


Bukan senang nak jadi pengacara berita. Bukan saja terpaksa berpanas terik, tetapi perlu lancar dalam memberi laporan. Kelihatan rakan-rakan sedang membantu memegang skrip yang dipaparkan pada manila kad.


Di kesempatan ini, i-Kwan mengucapkan terima kasih kepada Pengetua Kanan SMK Tunku Muhammad, Cikgu Mustaffa Mohamed yang bergitu menyambut baik program yang diilhamkan i-Kwan ini. Kita percaya, sokongan padu daripada pihak sekolah akan membantu untuk memartabatkan bidang media kepada generasi akan datang.

4.5.09

KELAB WARTAWAN MUDA NEGERI SEMBILAN DILANCAR

i-KWAN maju setapak lagi...



Negeri Sembilan bakal melahirkan golongan pelapis berbakat dalam bidang kewartawanan apabila buat julung kalinya 'Kelab Wartawan Muda' membabitkan pelajar sekolah menengah akan dilancarkan ke seluruh negeri itu.

Program anjuran Kelab Wartawan Negeri Sembilan (i-Kwan) itu merupakan langkah untuk mendedahkan golongan pelajar dengan asas kewartawanan beretika, sekaligus memberi kemahiran untuk berkomunikasi serta pengetahuan luas sebagai salah satu kerjaya pada masa depan.

Buat permulaan, Sekolah Menengah (SM) Tuanku Muhammad, di sini menjadi sekolah perintis program berkenaan mewakili Parlimen Kuala Pilah menerusi kerjasama Persatuan Bekas Pelajar (TM Old boys) sekolah terbabit yang turut dibantu Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Majlis pelancaran dijadual akan dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah dan Presiden TM Old boys.

Presiden i-Kwan, Ainol Amriz Ismail berkata, Kelab Wartawan Muda merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan i-Kwan untuk mencari pelapis dalam bidang kewartawanan di negara ini yang menjadi salah satu profesion yang secara langsung berkait dengan pembangunan negara.

“Menyedari betapa pentingnya barisan pelapis ini, i-Kwan rasa bertanggungjawab untuk memain peranan dengan memulakan fahaman bidang tersebut kepada pelajar di peringkat sekolah lagi. Lebih-lebih lagi, Negeri Sembilan sebenarnya banyak melahirkan golongan wartawan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata, menerusi penubuhan Kelab Wartawan Muda ini, sekaligus memberi kefahaman kepada golongan pelajar mengenai kewartawanan memandangkan generasi masa depan lebih terdedah kepada media tidak formal seperti laman blog.

“Sekurang-kurangnya, kita akan melatih pelajar agar percaya kepada fakta dan menolak berita khabar angin. Ini yang akan diterapkan pada kelab ini nanti,” katanya.