Para pengamal media di negeri ini juga tidak lari daripada pelbagai dugaan. 15 Januari lalu, dua ahli i-Kwan, Rais Yeop Johari (KOSMO!) dan Mohammad Yasir Jaafar (Utusan Malaysia) kerugian kira-kira RM12,000 apabila kenderaan masing-masing diumpil penjenayah ketika mendapatkan berita di Kompleks Renang Seremban 2.
Keratan akhbar KOSMO! pada 17 Januari 2009 melaporkan insiden yang menimpa kedua-dua wartawan berkenaan.
Masing-masing yang kehilangan komputer riba, kamera digital, dokumen peribadi serta barangan lain menyedari keretanya diumpil sebaik saja selesai menjalankan tugas. Selain mereka, turut diumpil adalah satu lagi kenderaan lain berdekatan.
i-Kwan sesungguhnya bersimpati dengan insiden yang menimpa kedua-dua rakan ini. Bagaimanapun, i-Kwan mengingatkan orang ramai, khususnya rakan-rakan pengamal media lain supaya berhati-hati ketika menjalankan tugas dengan tidak meninggalkan barang berharga dalam kenderaan.