20.12.08

HI-TEA AMAL i-KWAN BERJAYA !


Dalam kesibukan tugas sebagai pengamal media, ia tidak menghalang i-Kwan menganjurkan satu program amal dengan kerjasama Pekerti bagi mengutip tabung untuk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Negeri Sembilan pada 27 Julai lalu. Bertempat di Klana Resort Seremban, Hi-Tea bertemakan Beramal, Berhibur Bersama Adibah Nor dan Nabil itu berjaya bukan saja mendapat sambutan apabila dihadiri lebih 500 tetamu, tetapi persembahan yang ditampilkan Adibah Nor dan Nabil pada petang itu amat menghiburkan.

Program petang itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tunku Nujumuddin selain beberapa anggota Exco kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan diperkenalkan kepada barisan wartawan sebaik saja tiba di perkarangan Klana Resort.

Program amal i-Kwan ini sebenarnya sebagai kayu pengukur sejauh mana kerjasama antara ahli kelab yang baru ditubuhkan untuk menganjurkan satu program yang besar bagi mengutip dana kebajikan. Ternyata, idea mewujudkan program ini mendapat reaksi positfif ahli kelab yang secara sukarela membantu menjayakannya.


Presiden i-Kwan, Ainol Amriz Ismail memberi ucapan pada program berkenaan.



Persembahan bertenaga Adibah Noor dan Nabil berjaya memukau para hadirin dengan persembahan yang amat menghiburkan. Kehadiran 30 kanak-kanak istimewa dari Taman Sinar Harapan, Seremban turut memeriahkan lagi program berkenaan dengan berbagai persembahan yang menarik.


Nabil sempat mengusik para tetamu yang hadir dengan jenakanya yang bersahaja.


Tetamu turut tersentuh ketika Adibah Noor mengakhiri persembahan kemuncak dengan nyanyian lagu 'Terlalu Istimewa' sambil diiringi kanak-kanak istimewa Taman Sinar Harapan.



Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tunku Nujumuddin turut terhibur dengan persembahan Adibah Noor dan Nabil.



Tiada yang lebih menggembirakan bagi kanak-kanak Taman Sinar Harapan ini apabila berpeluang untuk bersama-sama bergambar dengan Menteri Besar dan isteri.

Tidak keterlaluan jika dikatakan program amal itu berjaya dan tercatat sebagai program induk i-Kwan untuk tahun 2008 ini. Tahniah kepada AJK yang diketuai Muhd Izawan Baharin selaku Pengarah Program serta dibantu oleh ahli i-Kwan yang bertungkus-lumus menjayakan program berkenaan iaitu Muhammad Rais Yeop Johari, Shahjehan Maamin, Nadzarul Amir Zainal Azam, Darshini Balan, Ali Chooi serta lain-lain. SYABAS !

Terima kasih juga buat Pekerti yang sudi bekerjasama dengan i-Kwan dalam program ini. Semoaga kerjasama ini akan berterusan.