15.3.10

'MOH KITO PICNIC' BERSAMA ANAK YATIM


13 Mac - Kelab Wartawan Negeri Sembilan (i-Kwan) bersama East West College Seremban bergabung tenaga menganjurkan program amal 'Moh Kito Picnic'. Program ini mencipta kelainan apabila seramai 100 anak yatim dibawa berkelah di Permaisuri Resort yang terletak di Batu 10, Port Dickson.


Anak-anak yatim tiba di perkarangan Permaisuri Resort dengan menaiki bas SKS-KL

Pelbagai acara diselitkan pada program yang bermula 8 pagi sehingga 6 petang itu; dimulai dengan sarapan pagi, acara perasmian serta ceramah agama, sebelum kesemua anak yatim diberi peluang bermain di kolam taman tema Permaisuri Resort itu. Turut serta pada hari itu, penasihat East West College, Prof Dato' Abd Murad Ahmad; Presiden i-Kwan, Ainol Amriz Ismail dan Pengerusi Permaisuri Resort, Mohd Hassan Ismail.


Acara perasmian oleh penasihat East West College, Prof Dato' Abd Murad Ahmad. Turut kelihatan Presiden i-Kwan, Ainol Amriz Ismail.


Antara anak-anak yatim yang mengikuti program ini.


Prof Dato' Abd Murad Ahmad menyampaikan cenderamata kepada Ainol Amriz Ismail semasa acara perasmian.

Kegembiraan terpancar di wajah anak-anak yatim ini apabila berpeluang menikmati kemudahan Permaisuri Resort secara percuma, yang jarang-jarang sekali mereka dapat menggunakan kemudahan resort taraf 4 bintang.


Jurukamera RTM, Abd Rahman Ibrahim mengambil shot-shot menarik kegembiraan anak yatim itu untuk disiarkan pada program berita.


Jurukamera TV3, Abd Nasir Ishak juga tidak ketinggalan merakamkan detik kenangan manis untuk dipaparkan dalam televisyen.

Manakala pada sebelah petang pula diisikan dengan taklimat motivasi yang disampaikan Bendahari i-Kwan, Muhd Faizal Abas sebelum acara sukaneka dan mandi pantai. Kedatangan selebriti terkenal, Maya Karin yang kebetulan singgah sebentar untuk berjumpa dengan anak-anak yatim selepas menghadiri satu program berdekatan, turut mengejutkan anak yatim itu.


Acara sukaneka bermula...


Gelagat anak yatim ketika meyertai acara sukaneka turut mencuit hati.


Kehadiran selebriti terkenal, Maya Karin yang kebetulan sedang mengikuti satu program berdekatan ternyata mengejutkan anak-anak yatim itu.


Ternyata program sebegini memberi seribu satu kenangan kepada anak yatim yang jarang-jarang diberi peluang berkelah bersama-sama, apatah lagi menggunakan kemudahan hotel betaraf 4 bintang itu.



i-Kwan mengucapkan terima kasih kepada East West College kerana memberi kepercayaan untuk berganding bahu dalam program ini, Tidak lupa juga kepada syarikat yang bekerjasama iaitu Agro Bank, Rembau Crystal, Sistem Kenderaan Seremban - KL Sdn Bhd (SKS-KL), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) dan Murad Foundation.

Dan ucapan terima kasih tak terhingga kepada Permaisuri Resort kerana membenarkan anak-anak yatim ini merasai keseronokan di sana selain tajaan hidangan makan minum sepanjang program ini. Semoga kerjasama i-Kwan dan Permaisuri Resort akan berterusan selepas ini.