17.3.10

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN KELAB WARTAWAN NEGERI SEMBILAN (i-KWAN) BERHUBUNG LIMA WARTAWAN DAN JURUKAMERA YANG `DIKURUNG' DALAM OPERASI BERSAMA JAKIM DAN KPDNKK OLEH PENGUSAHA KILANG MEMPROSES AYAM DI PEDAS, REMBAU

SEREMBAN 17 Mac - Kelab Wartawan Negeri Sembilan (i-KWAN) hari ini melahirkan rasa kecewa dan dukacita di atas tindakan pengusaha sebuah kilang memproses ayam di Pedas, Rembau yang `mengurung' pegawai dua agensi penguatkuasa serta pengamal media dalam premis mereka, semalam.

Presidennya, Ainol Amriz Ismail berkata, tindakan itu dilihat melampau dan sungguh tidak bertanggungjawab apabila pengusaha berkenaan bertindak mengunci pagar premis dan tidak membenarkan kesemua yang terlibat keluar dari kawasan terbabit.

``Tiga wartawan dan dua jurukamera, yang merupakan ahli kelab ini telah `dikurung' bersama 12 pegawai dari dua agensi penguatkuasa. Perbuatan itu kami lihat amat serius dan satu penghinaan terhadap kerjaya kewartawanan,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian semalam, 12 pegawai dari dua agensi penguatkuasaan - Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang membuat pemeriksaan dan sebuan di premis berkenaan pada pukul 5.30 petang telah `dikurung' sebelum `dibebaskan' kira-kira pukul 8 malam semalam.

``Wartawan dan jurukamera mengikuti satu operasi. Mereka menjalankan tugas yang diamanahkan. Malangnya, kesemua yang mengikuti operasi itu pula yang `dikurung'.

``Biarpun, mereka `dilepaskan' lebih awal, kelab mengutuk perbuatan yang dibuat oleh pengusaha kilang berkenaan,'' katanya.

Kata Ainol, walau apa pun alasan pengusaha berkenaan, sama ada menghalang sebarang berita dan gambar dari disiarkan, mereka sewajarnya lebih rasional apabila berhadapan situasi berkenaan.

``Kami pernah membuat liputan perasmian kilang tersebut dan mereka amat baik. Ketika itu mereka menghargai wartawan dan jurukamera. Waktu itu, mereka tidak pula menghalang pengamal media ini daripada membuat liputan.

``Hari ini apabila mereka berhadapan masalah, media yang dahulunya membantu mengeluarkan berita perasmian kilang, dilihat sebagai `lawan'. Ini satu yang tidak boleh kami terima,'' tegas Ainol.

Sehubungan itu, i-KWAN mahu pengusaha kilang memproses ayam berkenaan memohon maaf kepada wartawan dan jurukamera yang `dikurung' sewaktu operasi yang dilakukan oleh Jakim dan KPDNKK sebelum laporan dibuat kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, selaku penasihat kelab ini.

``Kelab i-KWAN memandang serius apa juga tindakan, tohmahan, cubaan mengugut mahupun `mengurung' wartawan, jurukamera, jurufoto serta pengamal media di negeri ini oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

``Kami berharap kejadiaan seumpama itu tidak berulang lagi kerana pengamal media akan melaporkan terus apa juga operasi, tragedi, berita dan rencana berteraskan kepentingan rakyat, lebih-lebih lagi dalam soal halal dan haram ini,'' kata Ainol.