4 Mac 2010 - Akhirnya masa yang ditunggu-tunggu telah tiba. Empat pengamal media Negeri Sembilan serta seorang wartawan dari Kuala Lumpur menerima pingat masing-masing pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Kali Ke-2 di Istana Besar Seri Menanti sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Dari kiri: Ahmad Syahrul, Saifullizan, Tuanku Aishah Rohani, Tuanku Muhriz, Shahjehan, Hamzah dan Mohd Amin
Empat pengamal media itu adalah Setiausaha i-Kwan, Ahmad Syahrul Derauh yang juga merupakan Ketua Wartawan Sinar Harian Negeri Sembilan; Mohd Amin Jalil (Wartawan - Berita Harian); Mohd Shahjehan Maamin (Jurufoto - Utusan Malaysia) dan Hamzah Md Som (Jurufoto Bernama). Masing-masing menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).
Manakala wartawan Utusan Malaysia Kuala Lumpur, Saifullizam Mohammad pula menerima Pingat Cemerlang Khidmat Masyarakat (PMC). Walaupun bertugas di Kuala Lumpur, Saifullizan merupakan anak kelahiran Negeri Sembilan dan pernah bertugas sekejap di Utusan Malaysia Seremban.
Sementara itu, beberapa lagi wartawan akan menerima pingat pada sesi ketiga yang dijadualkan berlangsung pada 25 Mac ini.
i-Kwan mengucapkan tahniah kepada penerima pingat, semoga ia menjadi sumber inspirasi untuk menjalankan tugas lebih cemerlang pada masa depan.