2.12.10

AHLI JAWATANKUASA BARU SESI 2010 - 2012


Petang tadi berlangsung mesyuarat agung kali ke-2 di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi bagi memilih barisan jawatankuasa baru menerajui kelab. Berikutan penarikan diri Presiden, Sdr Ainol Amriz Ismail yang enggan mengekalkan jawatan serta Setiausaha, Ahmad Syahrul Derauh yang bertukar ke Shah Alam sebagai Penolong Editor Edisi Sinar Harian, jawatankuasa i-Kwan bagi sesi 2010 - 2012 menampilkan barisan muka baru.

Senarai ahli jawatankuasa baru:
Presiden - Rais Yeop Johari
Naib Presiden - Hussaini Amran
Setiuasaha - Badrul Hafizan Mat Isa
Pen. Setiausaha - Rosemarie Khoo
Bendahari - Muhd Faizal Abbas

AJK
-Ifwan Tun Tuah
- Iskandar Shah
- Abd Rahman Ibrahim
- Hanna Adlint Nasution
- Farabi Said Al-Jabri

Syabas kepada barisan AJK baru... Semoga barisan jawatankuasa baru ini berjaya meneruskan kesinambungan perjuangan i-Kwan.


3.4.10

TEWAS... TAPI BERGAYA


2 APRIL 2010 - Keputusan luar jangkaan. Pasukan bolasepak i-Kwan yang baru dibentuk dalam tempoh seminggu dan hanya berlatih sejam sebelum perlawanan mampu memberi saingan yang begitu sengit ketika menentang Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan (JBSNS) / Majlis Belia Negeri Sembilan (MBNS) malam tadi.


Pasukan i-Kwan pada mulanya terikat 1-1 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Mohd Azree Zubir (RTM), bagaimanapun kehebatan pasukan lawan yang lebih berpengalaman dan turut diwakili pemain profesional menambah dua lagi gol pada separuh masa kedua dengan keputusan 1-3 sehingga tamat perlawanan.



Apa-apa pun, tahniah diucapkan kepada pasukan i-Kwan yang diketuai Pengurus Pasukan, Muhammad Rais Yeop Johari yang berjaya menyusun kesebelasan pemain utama serta menyusun strategi sehingga mampu membawa satu permainan yang sengit.



Perlawanan malam tadi merupakan langkah pertama pasukan i-Kwan dalam menghadapi perlawanan persahabatan dengan mana-mana pihak yang berminat dalam usaha untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Terima kasih kepada JBSNS yang memberi penghormatan kepada i-Kwan menjadi pasukan pertama berlawan di atas padang Kompleks Belia dan Sukan Paroi, selepas wujudnya lampu limpah bagi membolehkan perlawanan dilangsungkan sebelah malam.



Kepada pasukan i-Kwan, teruskan usaha untuk membawa pasukan ke satu tahap yang membanggakan. Hoben Gang Hoben...

1.4.10

PASUKAN BOLASEPAK i-KWAN BERAKSI


1 April 2010
- Buat pertama kali pasukan Bolasepak i-Kwan akan menurunkan kesebelasan pemainnya untuk beraksi menentang pasukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan (JBSNS) dan Majlis Belia Negeri Sembilan (JBNS) pada perlawanan persahabatan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Seremban malam esok (2 April 2010).



Jika sebelum ini, i-Kwan hanya aktif dalam perlawanan futsal, ini bermakna, esok merupakan penentuan sejauh mana keupayaan pasukan bolasepak i-Kwan dalam menentang pasukan yang boleh dikatakan jauh lebih berpengalaman.

Ketua Pasukan, Muhammad Rais Yeop Johari berkata, kalah atau menang bukan 'target' utama pasukan, sebaliknya yang lebih penting adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pengamal media dan jabatan-jabatan kerajaan di Negeri Sembilan.

Menurut Muhammad Rais, perlawanan itu juga merupakan langkah sulung kepada pasukan bolasepak i-Kwan untuk menyertai perlawanan-perlawanan lain pada masa akan datang.

"Setakat ini, kesebelasan utama pasukan telah bersedia, di samping beberapa pemain simpanan yang menjanjikan satu aksi menarik malam itu nanti," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pasukan, Ainol Amriz Ismail yang jugA Presiden i-Kwan yakin pasukan mampu memberi persembahan menarik dengan beberapa tonggak utama seperti Mohammad Yasir Jaafar, Mohd Azree Zubir, Shahrullizan Rusli dan dua penjaga gol, Ifwan Tun Tuah dan Hussaini Amran.

Ainol Amriz berkata, perlawanan persahabatan itu juga penting kerana pasukan telah diberi penghormatan untuk merasmikan lampu limpah yang baru disediakan di padang Kompleks Belia dan Sukan Paroi itu bagi membolehkan perlawanan dilangsungkan sebelah malam.

Apa-apa pun, good luck kepada pasukan i-Kwan. Kepada semua ahli i-Kwan, marilah datang beramai-ramai malam esok untuk beri sokongan padu... HOBEN GANG HOBEN...

17.3.10

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN KELAB WARTAWAN NEGERI SEMBILAN (i-KWAN) BERHUBUNG LIMA WARTAWAN DAN JURUKAMERA YANG `DIKURUNG' DALAM OPERASI BERSAMA JAKIM DAN KPDNKK OLEH PENGUSAHA KILANG MEMPROSES AYAM DI PEDAS, REMBAU

SEREMBAN 17 Mac - Kelab Wartawan Negeri Sembilan (i-KWAN) hari ini melahirkan rasa kecewa dan dukacita di atas tindakan pengusaha sebuah kilang memproses ayam di Pedas, Rembau yang `mengurung' pegawai dua agensi penguatkuasa serta pengamal media dalam premis mereka, semalam.

Presidennya, Ainol Amriz Ismail berkata, tindakan itu dilihat melampau dan sungguh tidak bertanggungjawab apabila pengusaha berkenaan bertindak mengunci pagar premis dan tidak membenarkan kesemua yang terlibat keluar dari kawasan terbabit.

``Tiga wartawan dan dua jurukamera, yang merupakan ahli kelab ini telah `dikurung' bersama 12 pegawai dari dua agensi penguatkuasa. Perbuatan itu kami lihat amat serius dan satu penghinaan terhadap kerjaya kewartawanan,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian semalam, 12 pegawai dari dua agensi penguatkuasaan - Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang membuat pemeriksaan dan sebuan di premis berkenaan pada pukul 5.30 petang telah `dikurung' sebelum `dibebaskan' kira-kira pukul 8 malam semalam.

``Wartawan dan jurukamera mengikuti satu operasi. Mereka menjalankan tugas yang diamanahkan. Malangnya, kesemua yang mengikuti operasi itu pula yang `dikurung'.

``Biarpun, mereka `dilepaskan' lebih awal, kelab mengutuk perbuatan yang dibuat oleh pengusaha kilang berkenaan,'' katanya.

Kata Ainol, walau apa pun alasan pengusaha berkenaan, sama ada menghalang sebarang berita dan gambar dari disiarkan, mereka sewajarnya lebih rasional apabila berhadapan situasi berkenaan.

``Kami pernah membuat liputan perasmian kilang tersebut dan mereka amat baik. Ketika itu mereka menghargai wartawan dan jurukamera. Waktu itu, mereka tidak pula menghalang pengamal media ini daripada membuat liputan.

``Hari ini apabila mereka berhadapan masalah, media yang dahulunya membantu mengeluarkan berita perasmian kilang, dilihat sebagai `lawan'. Ini satu yang tidak boleh kami terima,'' tegas Ainol.

Sehubungan itu, i-KWAN mahu pengusaha kilang memproses ayam berkenaan memohon maaf kepada wartawan dan jurukamera yang `dikurung' sewaktu operasi yang dilakukan oleh Jakim dan KPDNKK sebelum laporan dibuat kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, selaku penasihat kelab ini.

``Kelab i-KWAN memandang serius apa juga tindakan, tohmahan, cubaan mengugut mahupun `mengurung' wartawan, jurukamera, jurufoto serta pengamal media di negeri ini oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

``Kami berharap kejadiaan seumpama itu tidak berulang lagi kerana pengamal media akan melaporkan terus apa juga operasi, tragedi, berita dan rencana berteraskan kepentingan rakyat, lebih-lebih lagi dalam soal halal dan haram ini,'' kata Ainol.

15.3.10

'MOH KITO PICNIC' BERSAMA ANAK YATIM


13 Mac - Kelab Wartawan Negeri Sembilan (i-Kwan) bersama East West College Seremban bergabung tenaga menganjurkan program amal 'Moh Kito Picnic'. Program ini mencipta kelainan apabila seramai 100 anak yatim dibawa berkelah di Permaisuri Resort yang terletak di Batu 10, Port Dickson.


Anak-anak yatim tiba di perkarangan Permaisuri Resort dengan menaiki bas SKS-KL

Pelbagai acara diselitkan pada program yang bermula 8 pagi sehingga 6 petang itu; dimulai dengan sarapan pagi, acara perasmian serta ceramah agama, sebelum kesemua anak yatim diberi peluang bermain di kolam taman tema Permaisuri Resort itu. Turut serta pada hari itu, penasihat East West College, Prof Dato' Abd Murad Ahmad; Presiden i-Kwan, Ainol Amriz Ismail dan Pengerusi Permaisuri Resort, Mohd Hassan Ismail.


Acara perasmian oleh penasihat East West College, Prof Dato' Abd Murad Ahmad. Turut kelihatan Presiden i-Kwan, Ainol Amriz Ismail.


Antara anak-anak yatim yang mengikuti program ini.


Prof Dato' Abd Murad Ahmad menyampaikan cenderamata kepada Ainol Amriz Ismail semasa acara perasmian.

Kegembiraan terpancar di wajah anak-anak yatim ini apabila berpeluang menikmati kemudahan Permaisuri Resort secara percuma, yang jarang-jarang sekali mereka dapat menggunakan kemudahan resort taraf 4 bintang.


Jurukamera RTM, Abd Rahman Ibrahim mengambil shot-shot menarik kegembiraan anak yatim itu untuk disiarkan pada program berita.


Jurukamera TV3, Abd Nasir Ishak juga tidak ketinggalan merakamkan detik kenangan manis untuk dipaparkan dalam televisyen.

Manakala pada sebelah petang pula diisikan dengan taklimat motivasi yang disampaikan Bendahari i-Kwan, Muhd Faizal Abas sebelum acara sukaneka dan mandi pantai. Kedatangan selebriti terkenal, Maya Karin yang kebetulan singgah sebentar untuk berjumpa dengan anak-anak yatim selepas menghadiri satu program berdekatan, turut mengejutkan anak yatim itu.


Acara sukaneka bermula...


Gelagat anak yatim ketika meyertai acara sukaneka turut mencuit hati.


Kehadiran selebriti terkenal, Maya Karin yang kebetulan sedang mengikuti satu program berdekatan ternyata mengejutkan anak-anak yatim itu.


Ternyata program sebegini memberi seribu satu kenangan kepada anak yatim yang jarang-jarang diberi peluang berkelah bersama-sama, apatah lagi menggunakan kemudahan hotel betaraf 4 bintang itu.



i-Kwan mengucapkan terima kasih kepada East West College kerana memberi kepercayaan untuk berganding bahu dalam program ini, Tidak lupa juga kepada syarikat yang bekerjasama iaitu Agro Bank, Rembau Crystal, Sistem Kenderaan Seremban - KL Sdn Bhd (SKS-KL), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) dan Murad Foundation.

Dan ucapan terima kasih tak terhingga kepada Permaisuri Resort kerana membenarkan anak-anak yatim ini merasai keseronokan di sana selain tajaan hidangan makan minum sepanjang program ini. Semoga kerjasama i-Kwan dan Permaisuri Resort akan berterusan selepas ini.



ANAK JURUFOTO BERNAMA DAPAT 9A


Ketika sibuk membuat liputan calon cemerlang keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 di sekolah-sekolah 11 Mac lalu, pengamal media mendapat tahu salah seorang daripada yang cemerlang adalah anak kepada jurufoto Bernama Seremban, Hamzah Md Som.

Hamzah (kiri) bersama anaknya, Muhammad Nabilsyafiq Mohd Hamzah sebaik saja menerima keputusan SPM 11 Mac lalu.

Muhammad Nabilsyafiq Mohd Hamzah, 17, dari Sekolah Dato' Abd Razak (SDAR) Seremban memperolehi 9A. Pengamal media di Negeri Sembilan turut menumpang kegembiraan terhadap kejayaan itu dan membuktikan anak pengamal media juga mampu cemerlang.


Muhammad Nabilsyafiq Mohd Hamzah menunjukkan keputusan SPM beliau.

Seluruh warga i-Kwan mengucapkan sekalung tahniah kepada Hamzah dan Nabilsyafiq. Semoga beliau akan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi dengan lebih cemerlang.

5.3.10

LIMA WARTAWAN TERIMA PINGAT DI ISTANA SERI MENANTI


4 Mac 2010 - Akhirnya masa yang ditunggu-tunggu telah tiba. Empat pengamal media Negeri Sembilan serta seorang wartawan dari Kuala Lumpur menerima pingat masing-masing pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Kali Ke-2 di Istana Besar Seri Menanti sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.


Dari kiri: Ahmad Syahrul, Saifullizan, Tuanku Aishah Rohani, Tuanku Muhriz, Shahjehan, Hamzah dan Mohd Amin

Empat pengamal media itu adalah Setiausaha i-Kwan, Ahmad Syahrul Derauh yang juga merupakan Ketua Wartawan Sinar Harian Negeri Sembilan; Mohd Amin Jalil (Wartawan - Berita Harian); Mohd Shahjehan Maamin (Jurufoto - Utusan Malaysia) dan Hamzah Md Som (Jurufoto Bernama). Masing-masing menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Manakala wartawan Utusan Malaysia Kuala Lumpur, Saifullizam Mohammad pula menerima Pingat Cemerlang Khidmat Masyarakat (PMC). Walaupun bertugas di Kuala Lumpur, Saifullizan merupakan anak kelahiran Negeri Sembilan dan pernah bertugas sekejap di Utusan Malaysia Seremban.

Sementara itu, beberapa lagi wartawan akan menerima pingat pada sesi ketiga yang dijadualkan berlangsung pada 25 Mac ini.

i-Kwan mengucapkan tahniah kepada penerima pingat, semoga ia menjadi sumber inspirasi untuk menjalankan tugas lebih cemerlang pada masa depan.

14.1.10

13 PENGAMAL MEDIA NS TERIMA DARJAH KEBESARAN


14 Januari 2010
- Seramai 13 Pengamal media yang bertugas di Negeri Sembilan menerima darjah kebesaran dan pingat sempena Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang Ke-62, hari ini.

Daripada jumlah itu, tiga orang menerima Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC), manakala selebihnya adalah Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Penerima PMC adalah wartawan Kosmo!, Nadzarul Amir Zainal Azam. Beliau yang bertugas di Negeri Sembilan lebih dua tahun kini bertugas sebagai wartawan di Kuala Lumpur sejak 1 Januari lalu. Sementara dua penerima PMC lagi adalah Ketua Biro The Star, Sarban Singh dan wartawan Malaysia Namban, G Ramadoo.

Penerima lain (PJK) adalah Ketua Wartawan Sinar Harian, Ahmad Syahrul Derauh yang juga Setiausaha Kelab Wartawan Negeri Sembilan (i-Kwan); wartawan Bernama, Razali Pilus yang juga Presiden Kelab Akhbar Negeri Sembilan (Kelana); Ketua Biro Bernama, Shahrullizan Rusli; Jurufoto Utusan Malaysia, Shahjehan Maamin dan Abdul Razak Aid; Jurufoto The Star, Low Boon Tat dan Jurufoto Bernama, Hamzah Md Som.

Turut menerima PJK adalah wartawan Harian Metro, Mohd Amin Jalil; Jurukamera TV TV3 dan NTV7, Abdul Nasir Ishak dan Jurukamera TV Bernama, Arfi Ahmad.

Selain itu, seramai tiga wartawan yang bertugas di luar Negeri Sembilan turut dianugerahkan pingat iaitu wakil Bernama di Jakarta, Ahmad Fuad Yahya yang menerima Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS).

Wartawan Utusan Malaysia di KL, Saifullizan Mohamad dan Saifulhaizam Hasam masing-masing menerima PMC dan PJK. Saifulhaizam sebelum ini pernah bertugas di Negeri Sembilan dan pernah menjadi 'orang kuat' i-Kwan dan kini merupakan ahli bersekutu i-Kwan.

Penganugerahan darjah kebesaran dan pingat ini merupakan satu penghargaan kepada pengamal media di Negeri Sembilan yang tidak jemu-jemu menyampaikan berita khususnya kepada rakyat, sekaligus membantu membangunkan negara.


Nadzarul Amir Zainal Azam
(Kosmo !) ..... PMC

Sarban Singh (The Star) .... PMC

Shahrullizan Rusli (Bernama) .... PJK

Abdul Nasir Ishak
(TV3 / NTV7 ) .... PJK


Shahjehan Maamin (Utusan Malaysia) ..... PJK

Low Boon Tat (The Star) ..... PJK

I-Kwan mengucapkan tahniah kepada semua penerima pingat...