Tidak dinafikan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan (JBSNS) merupakan salah satu organisasi yang tidak jemu-jemu memberi sokongan terhadap i-Kwan. Sejak i-Kwan ditubuhkan hampir setahun lalu, JBSNS bukan saja organisasi yang terawal menyatakan sokongan terhadap i-Kwan, malah banyak program yang telah dijalankan secara kerjasama antara kedua-dua pihak.
Hari ini, bagi meneruskan kesinambungan kerjasama antara kedua-dua pihak, i-Kwan dan JBSNS sekali lagi bertemu dalam satu majlis makan tengahari di Klana Resort. Selain menjamu selera, masing-masing bertukar-tukar pandangan bagi memastikan kerjasama erat kedua-duanya dapat diteruskan demi kebaikan masyarakat.
Ainol Amriz (kiri) dan Baharuddin sempat berbincang sesuatu ketika majlis makan tengahari berlangsung.
Bak kata Pengarah JBSNS, Baharuddin Jali ketika ucapan berkata, kerjasama itu sebenarnya bukan untuk kebaikan kedua-dua pihak, sebaliknya untuk memastikan masyarakat di Negeri Sembilan memperolehi manafaat hasil kerjasama ini apabila JBSNS mempunyai kekuatan dari segi pengurusan belia dan i-Kwan mempunyai kekuatan dari segi menyampaikan apa yang telah dirancang JBSNS. Kombinasi kedua-duanya itu yang akan menjadikan setiap perancangan dapat disebarkan kepada orang ramai.
Bagi Presiden i-Kwan, Ainol Amriz Ismail, i-Kwan terharu dengan kepercayaan yang diberikan JBSNS. Ini kerana, jika dibandingkan dengan usia yang baru nak mencecah setahun jagung, ada organisasi yang sedia bekerjasama untuk memastikan i-Kwan bukan saja berfungsi untuk ahli, malah orang ramai.
Pada akhir program itu juga, JBSNS turut menyampaikan replika cek daripada Kementerian Belia dan Sukan sebanyak RM10,000 kepada i-Kwan bagi menjalankan aktiviti tahun 2009. Baharuddin juga tidak menolak kemungkinan dana tersebut akan diberikan secara tahunan berdasarkan kepada peranan i-Kwan memartabatkan golongan belia di negara ini. TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN....