20.12.09

MISI i-KWAN UNTUK TAHUN 2010


Malam 16 Disember 2009 - Mesyuarat terakhir AJK i-Kwan pada tahun ini dijalankan berlainan seperti kebiasaan. Mesyuarat kali ini diadakan secara terbuka apabila ahli-ahli i-Kwan mewakili setiap syarikat media dijemput untuk turut serta, bukan saja sebagai pemerhati, malah turut berpeluang memberi idea-idea dan komen.


Mesyuarat AJK i-Kwan yang terakhir tahun ini berlangsung di Royale Bintang Resort & Spa

Bertempat di Hotel Royale Bintang Resort & Spa Seremban, mesyuarat menumpukan kepada penutupan akaun 2009 selepas beberapa aktiviti dijalankan sepanjang tahun ini. Alhamdulillah, walaupun usia kelab ini belum mencecah 2 tahun, tetapi i-Kwan berjaya meletakkan diri sebaris dengan kelab yang telah lama bertapak, termasuk dari segi kedudukan kewangan. Semuanya hasil usaha ahli-ahli kelab yang bertungkus lumus siang malam memajukan kelab.


Presiden i-Kwan, Ainol Amriz Ismail (kanan) mempengerusikan mesyuarat di samping setiausaha, Ahmad Syahrul Derauh (tengah) dan Bendahari, Muhd Faizal Abas (kiri)


Pencapaian membanggakan ini sudah tentu mengundang senyuman kepada Presiden kelab, Ainol Amriz Ismail memandangkan pelbagai rintangan dan pengorbanan dilalui untuk meyakinkan pengamal media supaya menyertai kelab ini. Alhamdulillah, bermula daripada 16 ahli pada awal penubuhan, kini i-Kwan telah mempunyai lebih 40 ahli berdaftar.

Sebagai menghargai sokongan ahli, pada mesyuarat malam itu, AJK i-Kwan telah menetapkan peruntukan kebajikan bagi setiap ahli yang sakit atau kemalangan, dimasukkan wad, ahli keluarga meninggal dunia, berkahwin, mendapat cahayamata dan berbagai lagi. Ini selaras dengan tujuan asal kelab ini ditubuhkan iaitu membantu setiap ahli.


Dari kiri Amir (Kosmo !), Rosmarie (RTM) Nurlizan (NTV7) dan Zulhaimi (RTM)

Selain itu juga, AJK i-Kwan turut sepakat untuk melebarkan fungsi apabila AJK i-Kwan bukan setakat mengatur aktiviti, tetapi bersetuju untuk mengeluarkan kenyataan membantah sekiranya ada antara pengamal media di Negeri Sembilan yang dikasari ketika menjalankan tugasan mereka sebagai wartawan. Begitu juga i-Kwan akan memainkan peranan mereka sekiranya ada rakan-rakan media dari negeri lain yang turut mengalami nasib yang sama.


Dari kiri: Nasir (NTV7), Abd Rahman (RTM) dan Sham (Utusan Malaysia) turut hadir pada mesyuarat ini.

Mesyuarat juga telah menetapan beberapa aktiviti untuk tahun 2010 yang dijangka akan membuka tirai selewat-lewatnya Mac ini iaitu Malam Penghargaan Media NS 2010. Bagaimanapun, konsepnya nanti akan diputuskan menerusi AJK kecil yang akan dilantik kelak.


Abd Razak Aid - Utusan Malaysia (kiri) bangun memberi cadangan dalam mesyuarat bagi memantapkan lagi kelab.

Adalah diharapkan pada 2010, i-Kwan akan terus ke depan untuk memartabatkan pengamal media di Negeri Sembilan. Dimaklumkan juga, sebelum berakhirnya 2010 nanti, mesyuarat agung kedua i-Kwan bakal dijalankan bagi memilih jawatankuasa baru.

Syabas ahli-ahli i-Kwan...