20.12.09

MISI i-KWAN UNTUK TAHUN 2010


Malam 16 Disember 2009 - Mesyuarat terakhir AJK i-Kwan pada tahun ini dijalankan berlainan seperti kebiasaan. Mesyuarat kali ini diadakan secara terbuka apabila ahli-ahli i-Kwan mewakili setiap syarikat media dijemput untuk turut serta, bukan saja sebagai pemerhati, malah turut berpeluang memberi idea-idea dan komen.


Mesyuarat AJK i-Kwan yang terakhir tahun ini berlangsung di Royale Bintang Resort & Spa

Bertempat di Hotel Royale Bintang Resort & Spa Seremban, mesyuarat menumpukan kepada penutupan akaun 2009 selepas beberapa aktiviti dijalankan sepanjang tahun ini. Alhamdulillah, walaupun usia kelab ini belum mencecah 2 tahun, tetapi i-Kwan berjaya meletakkan diri sebaris dengan kelab yang telah lama bertapak, termasuk dari segi kedudukan kewangan. Semuanya hasil usaha ahli-ahli kelab yang bertungkus lumus siang malam memajukan kelab.


Presiden i-Kwan, Ainol Amriz Ismail (kanan) mempengerusikan mesyuarat di samping setiausaha, Ahmad Syahrul Derauh (tengah) dan Bendahari, Muhd Faizal Abas (kiri)


Pencapaian membanggakan ini sudah tentu mengundang senyuman kepada Presiden kelab, Ainol Amriz Ismail memandangkan pelbagai rintangan dan pengorbanan dilalui untuk meyakinkan pengamal media supaya menyertai kelab ini. Alhamdulillah, bermula daripada 16 ahli pada awal penubuhan, kini i-Kwan telah mempunyai lebih 40 ahli berdaftar.

Sebagai menghargai sokongan ahli, pada mesyuarat malam itu, AJK i-Kwan telah menetapkan peruntukan kebajikan bagi setiap ahli yang sakit atau kemalangan, dimasukkan wad, ahli keluarga meninggal dunia, berkahwin, mendapat cahayamata dan berbagai lagi. Ini selaras dengan tujuan asal kelab ini ditubuhkan iaitu membantu setiap ahli.


Dari kiri Amir (Kosmo !), Rosmarie (RTM) Nurlizan (NTV7) dan Zulhaimi (RTM)

Selain itu juga, AJK i-Kwan turut sepakat untuk melebarkan fungsi apabila AJK i-Kwan bukan setakat mengatur aktiviti, tetapi bersetuju untuk mengeluarkan kenyataan membantah sekiranya ada antara pengamal media di Negeri Sembilan yang dikasari ketika menjalankan tugasan mereka sebagai wartawan. Begitu juga i-Kwan akan memainkan peranan mereka sekiranya ada rakan-rakan media dari negeri lain yang turut mengalami nasib yang sama.


Dari kiri: Nasir (NTV7), Abd Rahman (RTM) dan Sham (Utusan Malaysia) turut hadir pada mesyuarat ini.

Mesyuarat juga telah menetapan beberapa aktiviti untuk tahun 2010 yang dijangka akan membuka tirai selewat-lewatnya Mac ini iaitu Malam Penghargaan Media NS 2010. Bagaimanapun, konsepnya nanti akan diputuskan menerusi AJK kecil yang akan dilantik kelak.


Abd Razak Aid - Utusan Malaysia (kiri) bangun memberi cadangan dalam mesyuarat bagi memantapkan lagi kelab.

Adalah diharapkan pada 2010, i-Kwan akan terus ke depan untuk memartabatkan pengamal media di Negeri Sembilan. Dimaklumkan juga, sebelum berakhirnya 2010 nanti, mesyuarat agung kedua i-Kwan bakal dijalankan bagi memilih jawatankuasa baru.

Syabas ahli-ahli i-Kwan...


CELCOM RAIKAN MEDIA NS DI PUTRAJAYA


15 Disember 2009 - Bertempat di Pullman Putrajaya Lakeside, Putrajaya, warga media Negeri Sembilan diberi penghargaan oleh syarikat telekomunikasi tanahair, Celcom dalam satu majlis ramah mesra yang julung-julung kali diadakan di luar Negeri Sembilan.

Lebih menarik, majlis tersebut turut disertai media Putrajaya, sekaligus memberi peluang kepada media Negeri Sembilan beramah mesra serta mengeratkan hubungan dengan media Putrajaya serta kakitangan-kakitangan Celcom.



Antara pengamal media Negeri Sembilan yang hadir.


Sebagai menghargai penganjuran Celcom itu juga, warga media Negeri Sembilan turut sepakat untuk datang beramai-ramai secara konvoi dari Seremban dengan menggunakan 9 kereta yang diketuai Nasir (TV3).


Pada malam itu, majlis berlangsung secara santai, bertemakan ‘Hawaiian Night’ itu, bukan saja ternyata meriah, malah tergambar semangat kekeluargaan pengamal media Negeri Sembilan apabila sama-sama 'sporting' dalam beberapa permainan. Selain terhibur dengan persembahan karaoke dan silapmata, ramai juga pengamal media yang tidak pulang dengan tangan kosong tetapi membawa bersama telefon bimbit yang dimenangi menerusi cabutan bertuah serta permainan yang disediakan.



Jurugambar Bernama. Hamzah Mohd Som mencuba cabaran 'Limbo Rock'. Usaha beliau berbaloi apabila menang sebuah telefon bimbit.



Boleh dikatakan, malam itu malam bertuah buat 'pengantin baru' i-Kwan, Abdul Rahman Ibrahim (RTM) apabila bukan saja menang dua telefon bimbit menerusi permainan dan cabutan bertuah, malah turut membawa pulang RM500 selepas menjadi juara sesi karaoke. Rezeki isteri tu...



Setiausaha i-Kwan, Ahmad Syahrul (kanan) dan Zulhaimi (RTM) turut pulang bersama sebuah telefon bimbit.

Apa-apa pun, i-Kwan mengucapkan terima kasih kepada Celcom atas penghargaan yang diberikan kepada pengamal media Negeri Sembilan Terima kasih CELCOM...


10.12.09

MPS TIDAK PERNAH LUPAKAN MEDIA


9 Disember 2009 - Majlis Perbandaran Seremban (MPS) sekali lagi mengadakan majlis ramah mesra dengan media bertempat di Royale Bintang Resort & Spa Seremban. Majlis ramah mesra kali ini agak berlainan kerana buat pertama kali, ia turut digabungkan bersama Majlis Perbandaran Nilai (MPN) yang diterajui oleh Yang Dipertua yang sama iaitu Datuk Abdul Halim Abdul Latif.

Datuk Abdul Halim melayan pengamal media yang hadir pada majlis ramah mesra di Royale Bintang Resort & Spa Seremban.


Setiap tahun MPS tidak pernah ketinggalan untuk mengadakan program sebegini dalam usaha merapatkan hubungan antara kakitangannya dan pengamal media. Ini menunjukkan betapa berbudinya jabatan berkenaan terhadap pengamal media di Negeri Sembilan yang sentiasa melaporkan perkembangan jabatan.

i-Kwan mengucapkan terima kasih kepada MPS dan MPN kerana tidak putus-putus memberi penghargaan kepada pengamal media. Syabas juga diucapkan kepada MPS dan MPN kerana sikap profesionalnya kerana tetap menghargai usaha media walaupun adakalanya laporan disiarkan adalah mengkritik mereka.

Diharapkan, lebih banyak lagi jabatan lain tidak kira jabatan kerajaan atau swasta untuk bersama-sama belajar daripada MPS dan MPN bagaimana untuk berkerjasama dengan media. Tidak dinafikan, ada jabatan yang masih memandang rendah peranan media ini tetapi perlu diingat, media sebenarnya boleh dijadikan kawan sekiranya betul pada caranya.

Bak kata pepatah, orang berbudi, kita juga berbahasa.