Selepas berkampung di Bagan Pinang, kali ini pengamal media NS sekali lagi berkampung, tetapi kali ini di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah bagi menjalankan tanggungjawab yang besar - membuat liputan sempena pertabalan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Sebagai orang yang bertanggungjawab membawa berita sepanjang program pertabalan ke seluruh negara, semua pengamal media NS ternyata menunjukkan satu kerjasama yang baik antara satu sama lain untuk menghasilkan berita yang terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia.
Sehari sebelum Istiadat Pertabalan iaitu pada 25 Oktober 2009, pengamal media NS serta beberapa pengamal media dari Kuala Lumpur dan tidak kurang 34 pengamal media luar negara memulakan tugas untuk Istiadat bersiram di Panca Persada, kira-kira 500 meter daripada Istana Besar Seri Menanti
Manakala, 26 Oktober yang merupakan hari kemuncak apabila Istiadat Pertabalan berlangsung dengan penuh adat istiadat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti. Namun begitu, disebabkan tempat yang terhad selain faktor keselamatan, hanya media rasmi saja yang dibenarkan untuk membuat liputan di dalam Balairong Seri, manakala sebahagian besar pengamal media membuat liputan dari Pusat Media yang disediakan di dalam Istana tersebut yang turut dilengkapi kemudahan komputer serta skrin TV sepanjang istiadat berlangsung.
I-Kwan mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Penerangan kerana menyediakan pusat media ini, bagaimanapun, secara peribadi pusat media tersebut terlalu banyak kekurangan kerana bukan saja bilangan komputer yang agak terhad, tetapi kemudahan plug untuk wartawan menggunakan komputer riba sendiri pun tidak ada.
Disulitkan lagi dengan kerusi yang tidak mencukupi menyebabkan beberapa pengamal media terpaksa duduk di atas lantai yang agak kurang kebersihan, selain tempat yang agak kecil menyebabkan mereka terpaksa berhimpit-himpit. Begitu juga kelemahan petugas pusat media menyalurkan maklumat yang dikehendaki menyebabkan beberapa wartawan asing pulang dengan rasa hampa.
Bagaimanapun, semuanya sudah berlalu dan i-Kwan berharap perkara ini tidak akan berulang pada masa depan memandangkan ini merupakan program besar yang menjadi tumpuan dunia dan jarang-jarang majlis seumpama ini boleh dinikmati bersama.
Untuk pengamal media yang telah berkerja keras dan bertungkus-lumus membuat liputan, i-Kwan menghadiahkan kepada anda paparan sepanjang Istiadat Bersiram dan Pertabalan pada 25 dan 26 Oktober lalu.












Istiadat pada 26 Oktober berakhir kira-kira 12.30 tengahari. Walaupun dalam keadaan yang 'kurang sempurna' namun semangat dan dedikasi pengamal media NS menyaksikan Istiadat berkenaan mendapat liputan menyeluruh daripada media-media tempatan. Syabas wartawan-wartawan, jurufoto-jurufoto dan jurukamera TV yang terlibat.
DAULAT TUANKU !